Wednesday 30 November 2011

SANG KANCIL MENIPU HARIMAU

Harimau: (suara meninggi) Hah, Sang Kancil! Di sini rupanya kamu berada.
Sang Kancil : (terperanjat) Oh harimau, apa lagi yang kamu hendak? (lalu berdiri dengan cepat)
Harimau: (suara meninggi) Aku hendak makan kamu.(sambil mengangkat kaki hadapannya dan membuka mulutnya.)
Sang Kancil: Nak makan aku? Eh, sekarang tidak boleh, harimau...Aku telah diperintahkan oleh raja Sulaiman supaya menunggu benda ini. (sambil menunjuk ke arah sarang tebuan itu)
Harimau: (kehairanan sambil melihat sarang tebuan) Apa benda itu?
Sang Kancil: Oh, ini gong Raja Sulaiman. Baginda akan mendengar bunyi gong ini apabila baginda hendak ke hutan.
Harimau: Hmm...tentu sedap bunyi gong raja ya.
Sang Kancil: Sudah tentulah. Siapa yang mendengarnya akan rasa gembira.
Harimau sangat ingin mendengar bunyi gong raja itu dan meminta Sang Kancil memalunya tetapi Sang Kancil menolak permintaan harimau. Sang Kancil memberi alasan yang tugasnya hanya untuk menunggu dan bukan memalu gong itu.
Harimau: (sambil merayu) Tolonglah Sang Kancil. Palulah gong raja itu. Sekali pun cukuplah. Lagipun, baginda tiada di sini.
Sang Kancil: Eh, tidak boleh, harimau. Kalau aku palu gong ini, bermakna aku tidak jujur.
Harimau: Kalau begitu, biarlah aku yang memalunya.
Sang Kancil terdiam seketika tetapi berasa sungguh lega. Harimau telah termakan helahnya.
Sang Kancil: Baiklah, harimau. Jika kamu hendak memalu gong raja ini, biarlah aku pergi jauh dari sini.
Sang Kancil memberikan sepotong kayu kepada harimau. Dia meminta harimau memalu gong itu setelah mendengar arahan daripadanya. Kemudian, Sang Kancil pergi jauh dari situ.
Sang Kancil: (berteriak dengan kuat) Harimau, palu!
Harimau pun memalu sarang tebuan itu. Apabila sarang tebuan itu dipalu, kesemua tebuan itu keluar dan menyengat harimau.
Harimau: (mengaum dengan kuat)Aummm!
Harimau menjerit kesakitan kerana tebuan itu telah menyerang seluruh tubuhnya. Dia berlari dengan pantas tetapi tebuan-tebuan itu terus mengejarnya. Mujurlah harimau terjumpa sungai. Harimau pun terjun ke dalamnya untuk menyelamatkan diri.

No comments:

Post a Comment